Bahagian ini mengendalikan tugas penyiasatan dan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengan kebankrapan dan penggulungan syarikat. Penyiasatan dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima daripada stake-holder, orang awam, dan maklumat dalaman serta dirujuk kepada Bahagian ini. Tanggungjawab utama Bahagaian Penyiasatan ialah menjalankan siasatan terhadap kesemua kesalahan Fraud yang telah dilakukan di bawah Akta Kebankrapan 1967 dan undang-undang yang berkaitan dengan kebankrapan.
Bahagian ini juga menjalankan penguatkuasaan undang-undang pentadbiran kebankrapan di bawah Akta Kebankrapan 1967. Penguatkuasaan memainkan peranan penting untuk memastikan seorang bankrap mematuhi tanggungjawab dalam mematuhi peruntukan pentadbiran kebankrapan di bawah Akta Kebankrapan 1967. Kegagalan seorang bankrap mematuhi tadbir urus kebankrapan akan mengakibatkan mereka boleh didakwa di Mahkamah atas kesalahan Komital.
Dalam mempertingkatkan keupayaan dan keberkesanan Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan, Bahagian ini dibahagikan kepada dua Seksyen seperti berikut:
(a) Seksyen Penyiasatan
(b) Seksyen Penguatkuasaan
Fungsi Seksyen Penyiasatan
Peranan utama Seksyen ini ialah menjalankan penyiasatan ke atas kesalahan Fraud di bawah Akta Kebankrapan 1967. Selain itu Seksyen ini juga bertanggungjawab mengklasifikasikan aduan yang diterima mengikut kesalahan Fraud di bawah Akta Kebankrapan 1967 dan di bawah Seksyen 421 hingga 424 Kanun Keseksaan. Pegawai Penyiasat menjalankan penyiasatan dengan membuka Kertas Siasatan, mengenal saksi-saksi penting semasa siasatan, merakam percakapan saksi-saksi, mengumpul keterangan lisan dan dokumen-dokumen. Setelah siasatan lengkap, Pegawai Penyiasat akan menyediakan laporan siasatan dan syor untuk pertuduhan. Terdapat 3 kategori kesalahan Fraud yang disiasat di bawah Akta Kebankrapan 1967 iaitu:
(a) Bankrap menghalang penemuan atau harta bankrap melalui proses kebankrapan;
(b) Bankrap memperoleh kredit tanpa memaklumkan bahawa beliau seorang bankrap; dan
(c) Salah urus perniagan bankrap.
Seksyen ini juga berperanan memantau penyiasatan kes di cawangan dan menyemak Kertas Siasatan yang dihantar oleh Pegawai Penyiasat seluruh cawangan Jabatan ini. Kertas Siasatan ini disemak bagi memastikan ia lengkap dan teratur sebelum dikemukakan kepada Bahagian Pendakwaan Jabatan ini. Seksyen ini juga bertanggungjawab membuat naziran ke seluruh Cawangan untuk memeriksa kedudukan Kertas Siasatan yang dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat di Cawangan masing-masing.
Fungsi Seksyen Penguatkuasaan
Fungsi utama Seksyen Penguatkuasaan ialah menjalankan penguatkuasaan berhubung dengan pematuhan tadbir urus kebankrapan di bawah Akta Kebankrapan 1967. Pegawai Penguatkuasa Seksyen ini akan menyemak Minit Mesyuarat Pertama Pemiutang bagi memastikan bankrap tidak membuat apa-apa kesalahan dalam memberi maklumat mengenai harta mereka. Seksyen ini juga menjalankan naziran di cawangan-cawangan bagi mengetahui status kes Komital dan memantau penguatkuasaan kes-kes kebankrapan dan penggulungan syarikat. Selain itu, Seksyen ini juga bertanggungjawab menyemak fail-fail Komital yang dihantar oleh Cawangan untuk semakan sebelum dirujuk ke Bahagian Pendakwaan Jabatan ini. Antara kesalahan Komital di bawah Akta Kebankrapan 1967 adalah seperti berikut:
(a) Bankrap gagal memfailkan Penyata Hal Ehwal;
(b) Bankrap melanggar sekatan di bawah Seksyen 38(2);
dan
(c) Bankrap gagal membayar ansuran bulanan.