Perjalanan Keluar Negara


Mana-mana bankrap yang belum dilepaskan mesti mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Insolvensi atau mahkamah untuk meninggalkan Malaysia. Jika si bankrap cuba untuk meninggalkan Malaysia tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Insolvensi, pasport dan dokumen perjalanan akan dirampas oleh Jabatan Imigresen dan diserah kepada Ketua Pengarah Insolvensi.


Bagi mendapatkan kebenaran keluar negara, Ketua Pengarah Insolvensi hendaklah berpuas hati bahawa anda mempunyai alasan yang kukuh untuk memohon keluar negara seperti berikut:


• Urusan kerja / pekerjaan;
• Umrah/Haji/Tujuan Keagamaan;
• Rawatan perubatan;
• Menziarahi keluarga;
• Menghadiri perkahwinan/konvokesyen/pengebumian;

Ketua Pengarah Insolvensi akan mengenakan syarat semasa memberi kelulusan seperti berikut:


• Tempoh perjalanan;
• Tarikh dikehendaki pulang ke Malaysia;
• Tarikh dikehendaki menyerahkan passport kepada Ketua Pengarah Insolvensi;
• Seorang penjamin dengan sejumlah amaun wang untuk didepositkan sebagai jaminan;
• Sejumlah amaun wang untuk dikreditkan ke dalam akaun kebankrapan;
• Ketetapan di dalam membuat bayaran ansuran.

Ketua Pengarah Insolvensi boleh menolak permohonan sekiranya :


• Bayaran ansuran yang tidak teratur atau tiada bayaran yang pernah dibuat;
• Tiada kerjasama dengan Ketua Pengarah Insolvensi;
• Kegagalan menghadirkan diri di Jabatan ini di awal penerimaan Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman;
• Kegagalan memfailkan Pernyataan Hal Ehwal;
• Penyerahan Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan yang tidak teratur;
• Menunggu perlaksanaan waran tangkap;
• Menunggu tindakan pendakwaan;
• Aduan di bawah siasatan;
• Apa-apa kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Kebankrapan 1967; dan
• Kegagalan mendedahkan harta/aset (dalam / luar negara)

Kegagalan mematuhi syarat perjalanan yang dikenakan oleh Ketua Pengarah Insolvensi adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kebankrapan. Bankrap dianggap melakukan suatu penghinaan mahkamah dan akan dihukum sewajarnya di atas permohonan Ketua Pengarah Insolvensi.