Bagaimana
saya boleh memohon untuk keluar negara?
Satu permohonan bertulis untuk meninggalkan Malaysia perlu dilakukan
kepada Ketua Pengarah Insolvensi sekurang-kurangnya empat belas (14)
hari sebelum tarikh lawatan yang dipohon. Sila ambil perhatian bahawa
permohonan berserta dokumen-dokumen sokongan hendaklah dihantar ke cawangan
yang mentadbir kes kebankrapan anda. Sekiranya anda tidak pasti cawangan
mana yang mentadbir kes anda, anda boleh membuat carian kebankrapan.
Anda perlu mengemukakan maklumat-maklumat berikut:
• Tujuan lawatan dipohon;
• Nama negara-negara yang anda mohon untuk dilawati;
• Tarikh anda bercadang meninggalkan Malaysia;
• Tarikh anda bercadang pulang ke Malaysia;
• Maklumat jadual perjalanan dan pihak yang boleh dihubungi di
luar negara;
• Nama dan surat pengesahan daripada pihak yang menanggung kos
perjalanan;
• Alamat e-mel, no. telefon dan alamat luar negara di mana anda
boleh dihubungi;
• Pendapatan tahunan semasa;
• Cadangan mengatur pembayaran terhadap hutang-piutang semasa
berada di luar negara;
• Mana-mana dokumen sebagai menyokong permohonan (hyperlink to
checklist).
Ketua Pengarah
Insolvensi memerlukan masa dan maklumat yang mencukupi untuk mempertimbangkan
permohonan anda. Anda akan dimaklumkan dengan segera tentang keputusan
Ketua Pengarah Insolvensi dan syarat yang ditetapkan bagi perjalanan
anda.
Ketua Pengarah Insolvensi boleh menolak permohonan di mana kehadiran
bankrap perlu untuk pentadbiran kebankrapan yang sewajarnya dan efisyen.
Jika kebenaran diberikan, Ketua Pengarah Insolvensi mestilah mengeluarkan
kebenaran secara bertulis sebelum bertolak.
Jika anda tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Pengarah Insolvensi,
anda boleh merayu kepada Ketua Pengarah Insolvensi dengan mengemukakan
alasan yang baru dalam permohonan anda. Rayuan kepada Ketua Pengarah
Insolvensi hanya boleh dibuat sekali sahaja. Jika anda masih tidak berpuas
hati dengan keputusan Ketua Pengarah Insolvensi terhadap permohonan
dan rayuan anda, anda boleh membuat rayuan ke mahkamah bagi menentang
keputusan Ketua Pengarah Insolvensi.